Lata Belatan

 

Lata Belatan terletak didalam Hutan Simpanan Gunung Tebu dalam Daerah Pentadbiran Hutan Terengganu Utara.Ianya merangkumi kawasan seluas 20 hektar dan terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Jertih atau 103 kilometer dari bandar Kuala Terengganu.
Bagi  tujuan keindahan semulajadi, seluruh kawasan dalam kompatmen 49 dan 50 dengan keluasan lebih kurang 403 hektar yang meliputi kawasan hutan lipur ini telah dikekalkan. Hutan lipur telah dimajukan secara berperingkat-peringkat semenjak tahun 1985.
Kawasan Hutan lipur Lata Belatan terdiri dari hutan asli jenis hutan Pamah Diptercorp. Ianya kaya dengan pokok-pokok jenis Diptercorp seperti Merati dan Keruing yang melebihi 50% daripada komposisi hutan. Jenis-jenis bukan Diptercorp yang  terdapat disini ialah Nyatoh, Kelat, Mersawa, Rengas, Kedondong dan lain-lain.

Manakala dikawasan berbukit tinggi menghala ke puncak Gunung Tebu, terdiri daripada jenis Meranti Balau Laut Merah. Dikawasan lereng-lereng bukit yang curam jenis-jenis yang lazim terdapat disini ialah Meranti Seraya, Campuran Meranti Keruing dan juga sedikit jenis konifer seperti Podo dan Damar Minyak.

Pembangunan Hutan Lipur Lata Belatan adalah berdasarkan pengurusan berkekalan dimana pembangunan yang dilaksanakan adalah berharmoni dengan alam sekitar. Konsep pembangunan yang bersusuaian dengan kawasan ini ialah "Forest Camping Holiday" .

Diantara aktiviti-aktiviti yang dapat dilakukan disini ialah berehat sambil menikmati suasana keindahan alam semulajadi, berkelah secara bersendirian, bersama keluarga atau berkumpulan, berkhemah, merentas hutan (jungle treking).

Bagi mereka yang ingin cabaran dan merasai suasana pengembaraan hutan yang lebih bermakna lagi bolehlah mendaki kepuncak Gunung Tebu dengan ketinggian 1,097 meter dari aras laut. Pendakian ini mengambil masa lebih kurang 5 jam untuk sampai kepuncaknya. Keadaan cuaca yang sejuk dengan persekitaran tumbuh-tumbuhan gunung yang berbagai jenis serta pemandangan yang menarik menambahkan lagi keunikan kawasan ini.