PEMBANGUNAN  DAERAH BESUT



FASA PERTAMA
Sektor utama Daerah Besut ialah sektor pertanian. Sektor ini merupakan penyumbang terbesar kepada aktiviti ekonomi. Keadaan ini berlaku kerana daerah ini mempunyai kelebihan persaingan dari segi kesesuaian tanah dan tenaga kerja. Walaupun demikian pada tahun 1990-an, usaha-usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu untuk mempelbagaikan aktiviti-aktiviti ekonomi di daerah ini. 

Justeru, pada masa kini, Daerah Besut sedang menumpukan perhatian kepada sektor perkhidmatan dan sektor perkilangan. Walaupun begitu, sektor pertanian tidak akan diabaikan di Daerah Besut kerana sektor ini masih lagi penting untuk meningkatkan pengeluaran hasil-hasil pertanian di Terangganu dan juga memberi peluang-peluang perkerjaan kepada guna tenaga di daerah ini.

 

Ekonomi Sektor Daerah Besut dirangsang oleh:-

1.

SEKTOR PERTANIAN
Aktiviti-aktiviti sektor pertanian merangkumi sub-sektor tanaman, ternakan dan perikanan.

2.

SEKTOR PERKILANGAN
Aktiviti-aktiviti sektor perkilangan pula merangkumi industri perkayuan, IKS dan industri informal.

3.

SEKTOR PERKHIDMATAN
Aktiviti-aktiviti sektor perkhidmatan pula diteraskan dengan aktiviti-aktiviti kerajaan, pelacongan dan perdagangan.

Walaupun begitu, secara makronya ekonomi Daerah Besut masih lagi berasaskan ekonomi pertanian. Akan tetapi untuk mengembangkan aktiviti-aktiviti ekonomi dalam daerah ini, sektor perkilangan akan terus dimajukan terutama dalam industri perkayuan dan industri-industri intensif tenaga kerja. Bagi menyelaraskan pembangunan industri, Kerajaan Negeri telah menyediakan Kawasan Perindustrian Gong Medang. Keluasan kawasan ini ialah sebanyak 113.3 hektar dengan jumlah yang telah dijual sebanyak 65 hektar pada akhir tahun 1998. Mejoriti perusahaan dikawasan ini ialah daripada industri perkayuan termasuk kilang-kilang perabut. Pewujudan kawasan-kawasan perindustrian akan dilaksanakan berdasarkan permintaan daripada sektor swasta.

Sektor Pertanian merupakan salah satu sektor utama yang menyumbangkan kepada KDNK daerah ini. Pada tahun 1998, anggaran sumbangan sektor ini ialah sebanyak 7.9 peratus. Sub-sektor perikanan diteraskan oleh aktiviti-aktiviti perikanan laut yang dilaksanakan oleh 2,904 nelayan (1998) dan 404 buah bot perikanan. Jumlah pendaratan ikan didaerah ini pada tahun 1998 ialah sebanyak 37,784.7 mt. Industri akuakultur juga menyumbang kepada sub-sektor ini dengan pengeluaran sebanyak 98.8 mt. (1998). Sub-sektor ternakan pula merangkumi program-program ternakan yang melibatkan 23,207 ekor ternakan. Untuk sub-sektor tanaman pula, tanaman utama ialah padi dan getah iaitu seluas 13,189 hektar dan 13,214 hektar masing-masing. Tanaman lain ialah kelapa sawit seluas 6,304 hektar, buah-buahan seluas 2,908.6 hektar dan tembakau seluas 1,503.4 hektar. Daerah ini mempunyai keluasan sesuai untuk pertanian sebanyak 41,449 hektar dan jumlah yang telah dimajukan ialah seratus peratus. Pada tahun 1998 terdapat 77 projek kelompok pertanian yang melibatkan 6,219 pertanian dan keluasan 10,586.8 hektar. Projek kelompok ini mengeluarkan 39,885.1 kg. hasil-hasil pertanian dengan nilaian sebanyak RM 31.9 juta (1998). 

Untuk memajukan sektor pertanian, teknik-teknik pengeluaran dan pengurusan moden akan digalakkan supaya jumlah mengeluaran setiap hektar dapat di optimumkan. Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (KETARA) yang beroperasi di daerah ini akan terus menyokong jabatan-jabatan agensi-agensi kerajaan untuk memajukan sektor pertanian daerah Besut terutama dalam meningkatkan pengeluaran padi kerana sebahagian besar kawasan ialah kawasan jelapang padi negara. Sektor Pertanian dijangka akan berkurangan dari segi sumbangan kepada ekonomi daerah ini tetapi dari aspek pangeluarannya, ia dijangka akan meningkat. 

Sektor perkilangan dianggar menyumbang sebanyak 10.8 peratus (1998), kepada KDNK daerah ini. Sumbangan yang melebihi sektor pertanian ini ialah kerana nilai di tambahnya lebih tinggi sektor pertanian antara Industri yang memberi sumbangan kepada sektor ini ialah perusahaan batu-bata yang berjumlah 12 buah (1998). Perusahaan yang banyak sekali menyumbang kepada KDNK Daerah Besut ialah industri yang berasaskan kayu. Pada tahun 1998 terdapat 17 buah syarikat yang mengendalikan aktiviti-aktiviti dalam industri perkayuan. Sub-sektor ini sesuai dengan sumber perhutanan yang dapat membekalkan stok yang mencukupi. Untuk meningkatkan prestasi Sub-sektor ini, langkah-langkah untuk menggalakkan aktiviti-aktiviti hiliran yang lebih tinggi nilai ditambahnya akan diteruskan. Selain daripada industri ini, terdapat juga sebuah kilang minuman dalam daerah ini. Industri-industri informal seperti pemerosesan hasil-hasil laut, tanaman, industri kraftangan dan lain-lain juga memberi sokongan kepada sektor perkilangan daerah ini. 

Satu lagi sektor yang memberi sumbangan kepada KDNK daerah ini ialah sektor perkhidmatan. Jumlah yang disumbang pada tahun 1998 dianggar sebanyak 22.2 peratus. Sub-sektor pelancongan menyumbang dengan kehadiran pelancong-pelancong di Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil yang secara langsung dan tidak langsung telah mengembang aktiviti-aktiviti ekonomi daerah ini. Pada tahun 1998, anggaran kedatangan pelancong termasuk pelancong harian (day-trippers) ke daerah ini ialah sebanyak 18.2 peratus daripada jumlah kedatangan ke negeri. Kemudahan penginapan dalam daerah ini ialah sebanyak 40 buah hotel/chalet dengan 965 bilik. Pulau Perhentian Besar ialah tarikan utama pelancong ke daerah ini. Lokasi lain ialah Hutan Lipur Lata Tembakah, Hutan Lipur Lata Belatan, Bukit Keluang dan Air Panas Kampung La. Sub-sektor perkhidmatan kerajaan juga memberi sumbangan kepada sektor ini dengan projek-projek prasarana dan program-program ekonomi dan sosial diseluruh daerah terutama daripada agensi/jabatan Kerajaan Persekutuan seperti KETARA, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan lain-lain.

KUALITI HIDUP
Secara amnya telah banyak berlaku peningkatan dari setahun ke setahun jika perbandingan dibuat melalui penilaian petunjuk-petunjuk makro-ekonomi dan sosial-ekonomi bagi daerah Besut. Tetapi petunjuk-petunjuk ini juga menggambarkan tahap kemajuan yang memerlukan penbekatan yang lebih bersepadu dan berfokus. KDNK daerah Besut ialah sebanyak RM 1,088.9 juta dengan sumbangan 12.1 peratus kepada KDNK negeri Terengganu. Angka ini rendah jika berbanding dengan jumlah penduduk dan keluasan daerah ini. KDNK per kapita daerah Besut sebanyak RM 7,728.7 menunjuk angka yang sederhana berbanding dengan daerah-daerah lain. Sektor yang banyak sekali menyumbang kepada ekonomi daerah Besut ialah sektor ialah sektor perkhidmatan berteraskan perdagangan dan pelancongan dan diikuti oleh sektor perkilangan dan sektor pertanian berasaskan sumber perkayuan. Justru, struktur ekonomi daerah Besut masih lagi berasaskan ekonomi sumber.

Dari segi sosial-ekonomi, kadar mortaliti bayi setiap seribu kelahiran ialah sebanyak 9.2. Angka ini ialah antara yang tertinggi berbanding dengan daerah-daerah lain. selain daripada itu, penduduk per doktor juga menunjuk kepada angka yang tinggi iaitu 5,714 orang (1998) berbanding 2,875 (1993). Petunjuk-petunjuk ini menunjukkan tahap perkhidmatan kesihatan yang berkurangan untuk penduduk daerah ini. Untuk pembekalkan elektrik pula, daerah ini telah mencapai 100 peratus seperti mana daerah-daerah lain di Terengganu. Tetapi pembekalan air paip masih lagi di tahap rendah iaitu sebanyak 67.4 peratus (1998). Prestasi ini ialah yang terperlahan dalam negeri. Oleh itu, peningkatan kemudahan-kemudahan asas kehidupan harian masih lagi perlu dibangunkan dalam daerah ini. Bilangan telefon setiap seribu penduduk daerah ini telah meningkat daripada 26.4 (1993) kepada 82.5 (1998). Walaupun begitu berbanding dengan daerah-daerah lain, prestasi ini masih rendah. Petunjuk bilangan televisyen setiap seribu penduduk juga menunjuk keadaan yang sama.

Daerah ini mempunyai insiden kemiskinan mutlak yang tertinggi sekali jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain. Oleh itu, untuk mengurangkan kemiskinan di daerah ini akan dijadikan agenda utama dalam memajukan daerah ini. Penumpuan kepada kaedah-kaedah tradisional dan konvensional dalam sektor pertanian tidak akan memberi perubahan yang ketara kepada penduduk di daerah ini. Justeru, tindakan bersepadu harus dilakukan untuk memodenkan sektor pertanian di daerah ini kerana 79 peratus keluarga miskin terdiri daripada kalangan petani, penternak dan nelayan. Langkah ini bukan sahaja dapat menambahkan pendapatan guna tenaga sektor pertanian tetapi pada masa yang sama mengembangkan aktiviti-aktiviti ekonomi daerah Besut. Untuk melengkapkan tindakan ini, sektor perkidmatan dan sektor perkilangan harus juga dijadikan pemangkin kepada pewujudan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan di daerah ini.